Suatu
perkara yang pasti bahawa Syurga dan Neraka adalah dua tempat balasan yang
Allah s.w.t. ciptakan. Syurga diciptakanNya sebagai tempat tinggal yang abadi
bagi kaum Muslimin dan Muslimat dan Neraka sebagai tempat tinggal bagi kaum
Musyrikin, Musyrikat dan pelaku dosa yang Allah s.w.t. telah melarang darinya.
Setiap Muslim yang mengerti keadaan Syurga dan Neraka tentunya sangat berharap
untuk dapat menjadi penghuni Syurga dan terhindar jauh dari Neraka, inilah
fitrah.
Membicarakan
tentang Neraka dan penghuninya, yang mana mayoritas penghuninya adalah wanita
kerana sebab-sebab yang akan dijelaskan nanti.
Sebelum kita
mengenal wanita-wanita penghuni Neraka alangkah baiknya jika kita menoleh
kepada peringatan-peringatan Allah s.w.t. di dalam Al Quran tentang Neraka dan
azab yang tersedia di dalamnya dan perintah untuk menjaga diri daripadanya.
Allah s.w.t.
berfirman yang maksudnya :
“Hai
orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang
bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang
kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang
diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
(Surah At Tahrim ayat 6)
Imam At-Tobari
(rahimahu ‘Llah) menyatakan di dalam tafsirnya : “Ajarkanlah kepada keluargamu
amalan ketaatan yang dapat menjaga diri mereka dari Neraka.”
Ibnu Abbas
r.a juga mentafsirkan ayat ini : “Beramallah kamu dengan ketaatan kepada Allah,
takutlah kamu untuk bermaksiat kepadaNya dan perintahkan keluarga kamu untuk
berzikir, nescaya Allah menyelamatkan kamu dari Neraka.”
Masih banyak
tafsir para sahabat dan ulama lainnya yang menganjurkan kita untuk menjaga diri
dan keluarga dari Neraka dengan mengerjakan amalan soleh dan menjauhi maksiat
kepada Allah s.w.t.
Di dalam
surah lainnya Allah s.w.t. berfirmanyang bermaksud :
“Peliharalah
dirimu dari Neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu yang disediakan bagi
orang-orang kafir.” (Surah Al Baqarah ayat 24)
Sahabat yang
dimuliakan, Begitu pula dengan ayat-ayat lainnya yang juga menjelaskan keadaan
Neraka dan perintah untuk menjaga diri daripadanya.
Kedahsyatan
dan kengerian Neraka juga dinyatakan Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang sahih
dari Abu Hurairah r.a bahawasanya baginda bersabdayang bermaksud :
“Api kamu
yang dinyalakan oleh anak cucu Adam ini hanyalah satu bahagian dari 70 bahagian
Neraka Jahanam.”
Jikalau api
dunia saja dapat menghanguskan tubuh kita, bagaimana dengan api Neraka yang
panasnya 70 kali ganda dibandingkan dengan panas api dunia? Semoga Allah S.W.T.
menyelamatkan kita dari api Neraka.
WANITA
PENGHUNI NERAKA
Mengenai hal
ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Aku melihat
ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’
(orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan
kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)
Hadis ini
menjelaskan kepada kita apa yang disaksikan oleh Rasulullah s.a.w tentang
penghuni Syurga yang majoritinya adalah fuqara (para fakir miskin) dan Neraka
yang majoriti penghuninya adalah wanita. Tetapi hadis ini tidak menjelaskan
sebab-sebab yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam Neraka dan menjadi
majoriti penghuninya, namun demikian sebab-sebab tersebut disebutkan dalam
hadis lainnya.
Di dalam
kisah solat gerhana matahari, Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya melakukan
solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah s.a.w melihat
Syurga dan Neraka. Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para
sahabatnya:
“ … dan aku
melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama
sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun
bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab :
“Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada
Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur
terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah
seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu
pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah
melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)
Dalam hadis
yang lain, Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, baginda
bersabda :
“ … dan
wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang,
melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan
kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta.
Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal
wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Hadis
Riwayat Muslim dan Ahmad)
Dari Imran
bin Husain dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya
penduduk Syurga yang paling sedikit adalah wanita.”
(Hadis
Riwayat Muslim dan Ahmad)
Imam
Qurthubi (rahimahu ‘Llah) menjelaskan maksud hadis di atas dengan pernyataannya
:
“Penyebab
sedikitnya kaum wanita yang masuk Syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi
pada diri mereka, kecondongan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan
berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk
tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk
beramal. Kemudian mereka juga sebab yang paling kuat untuk memalingkan kaum
lelaki dari akhirat disebabkan adanya hawa nafsu dalam diri mereka, kebanyakan
dari mereka memalingkan diri-diri mereka dan selain mereka dari akhirat, cepat
tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap agama dan sulit menerima jika
diajak kepada akhirat.”
(Jahannam
Ahwaluha wa Ahluha halaman 29-30 dan At Tazkirah halaman 369)
Jika kita
perhatikan keterangan dan hadith di atas dengan insaf, nescaya kita akan dapati
beberapa sebab yang menjerumuskan kaum wanita ke dalam Neraka bahkan menjadi
majoriti penghuniya dan yang menyebabkan mereka menjadi golongan minoriti dari
penghuni Syurga.
1. Kufur
Terhadap Suami dan Kebaikan-Kebaikannya :
Rasulullah
s.a.w menjelaskan hal ini pada sabda baginda di atas tadi. Kekufuran seumpama
ini terlalu banyak kita dapati di tengah-tengah keluarga kaum muslimin, iaitu
seorang isteri yang mengingkari kebaikan-kebaikan suaminya selama sekian waktu
yang panjang hanya dengan sikap suami yang tidak sesuai dengan kehendak isteri
sebagaimana kata pepatah,’panas setahun dihapus oleh hujan sehari’. Padahal
yang harus dilakukan oleh seorang isteri ialah bersyukur terhadap apa yang
diberikan suaminya, janganlah ia mengkufuri kebaikan-kebaikan suami kerana
Allah s.w.t. tidak akan melihat isteri seumpama ini sebagaimana dijelaskan
Rasulullah s.a.w :
“Allah tidak
akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan
tidak merasa cukup dengannya.”
(Hadis
Riwayat Nasaie)
Hadis di
atas adalah peringatan keras bagi kaum wanita muslimah yang menginginkan
keredhaan Allah s.w.t. dan SyurgaNya. Maka tidak layaklah bagi wanita yang
mengharapkan akhirat untuk mengkufuri kebaikan-kebaikan suaminya dan nikmat-nikmat
yang diberikannya atau meminta dan banyak mengadukan hal-hal kekurangan yang
tidak sepatutnya untuk diperbesar-besarkan.
Jika
sedemikian keadaannya, maka sangat tidak sesuai sekali jika wanita yang kufur
terhadap suaminya serta kebaikan-kebaikannya dikatakan Rasulullah s.a.w sebagai
majoriti kaum yang masuk ke dalam Neraka walaupun mereka tidak kekal
didalamnya.
Cukup
sekiranya isteri-isteri Rasulullah s.a.w dan para sohabiyah sebagai suri
tauladan bagi isteri-isteri kaum muslimin dalam mensyukuri kebaikan-kebaikan
yang diberikan suaminya kepadanya.
2. Durhaka
Terhadap Suami
Kedurhakaan
yang dilakukan seorang isteri terhadap suaminya pada umumnya berupa tiga bentuk
kedurhakaan yang sering kita jumpai pada kehidupan masyarakat kaum Muslimin.
Tiga bentuk kedurhakaan itu adalah :
1. Derhaka
dengan ucapan.
2. Derhaka
dengan perbuatan.
3. Derhaka
dengan ucapan dan perbuatan.
Bentuk
pertama ialah seorang isteri yang biasanya berucap dan bersikap baik kepada
suaminya serta segera memenuhi panggilannya, tiba-tiba berubah sikap dengan
berbicara kasar dan tidak segera memenuhi panggilan suaminya. Atau ia
memenuhinya tetapi dengan wajah yang menunjukkan rasa tidak senang atau lambat
mendatangi suaminya. Kederhakaan seperti ini sering dilakukan seorang isteri ketika
ia lupa atau memang sengaja melupakan ancaman-ancaman Allah terhadap sikap ini.
Termasuk
bentuk kederhakaan ini ialah apabila seorang isteri membicarakan perbuatan
suami yang tidak ia sukai kepada teman-teman atau keluarganya tanpa sebab yang
dibenarkan oleh syara’. Atau ia menuduh suaminya dengan tuduhan-tuduhan yang
bermaksud untuk menjatuh dan merosak kehormatannya sehingga suaminya dipandang
hina di mata orang lain. Begitu juga apabila seorang isteri meminta talak atau
di khulu’ (dicerai) tanpa sebab syar’i. Atau ia mendakwa telah dianiaya atau
dizalimi suaminya atau lain-lainnya.
Permintaan
cerai biasanya di awali dengan pertengkaran antara suami dan isteri kerana
ketidakpuasan isteri terhadap kebaikan dan usaha suami. Atau yang lebih
menyedihkan lagi bila hal itu dilakukannya kerana suaminya berusaha mengamalkan
syari’at-syari’at Allah s.w.t. dan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. Sungguh hina
sekali apa yang dilakukan isteri seperti ini terhadap suaminya.
Ingatlah
sabda Rasulullah s.a.w :
“Wanita mana
saja yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebab (yang syar’ie) maka haram
baginya mencium wangi Syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi )
Bentuk
kederhakaan kedua yang dilakukan para isteri terjadi apabila seorang isteri
tidak mahu melayani keperluan batiniyah suaminya atau bermuka masam ketika
melayaninya atau menghindari suami ketika hendak disentuh dan dicium atau
menutup pintu ketika suami hendak mendatanginya dan yang seumpamanya.
Termasuk
dari bentuk ini ialah apabila seorang isteri keluar rumah tanpa izin suaminya
walaupun hanya untuk mengunjungi kedua orang tuanya. Tindakan ini sebenarnya
adalah seakan-akan seorang isteri lari dari rumah suaminya tanpa sebab syar’ie.
Demikian pula jika isteri enggan untuk bersafar (melakukan perjalanan) bersama
suaminya, mengkhianati suami dan hartanya, membuka dan menampakkan apa yang
seharusnya ditutupi dari anggota tubuhnya (aurat), menerima tetamu tanpa izin
suaminya, berjalan di tempat umum dan pasar-pasar tanpa mahram, bersenda gurau
atau berbicara lemah-lembut penuh mesra kepada lelaki yang bukan mahramnya dan
yang lain-lain.
Begiti juga
apabila seorang isteri tidak mau berdandan atau mempercantikkan diri untuk
suaminya padahal suaminya menginginkan hal-hal itu, melakukan puasa sunat tanpa
izin suaminya, meninggalkan hak-hak Allah seperti solat atau puasa Ramadhan.
Maka setiap
isteri yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti tersebut adalah isteri yang
durhaka terhadap suami dan telah melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. Jika
kedua bentuk kederhakaan ini dilakukan sekaligus oleh seorang isteri maka ia
dikatakan sebagai isteri yang derhaka dengan ucapan dan perbuatannya.
Sungguh rugi
wanita yang melakukan kederhakaan ini. Mereka lebih memilih jalan ke Neraka
daripada jalan ke Syurga kerana memang biasanya wanita yang melakukan
kederhakaan-kederhakaan ini tergoda oleh angan-angan dan kesenangan dunia yang
menipu.
Jalan menuju
Syurga tidaklah dihiasi dengan bunga-bunga yang indah, melainkan dipenuhi
dengan rintangan-rintangan yang berat untuk dilalui oleh manusia kecuali
orang-orang yang diberi ketegaran iman oleh Allah. Tetapi ingatlah di hujung
jalan ini ada Syurga yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya yang sabar
menempuhnya.
Ketahuilah
pula bahawa jalan menuju ke Neraka memang indah, penuh dengan syahwat dan
kesenangan dunia yang setiap manusia tertarik untuk menjalaninya. Tetapi ingat
dan sedarlah bahawa Neraka menanti orang-orang yang menjalani jalan ini dan
tidak mahu berpaling darinya semasa ia hidup di dunia.
Hanya wanita
yang bijaksanalah yang mahu bertaubat kepada Allah s.w.t. dan meminta maaf
kepada suaminya dari kederhakaan-kederhakaan yang pernah ia lakukan. Ia akan
kembali berusaha mencintai suaminya dan sabar dalam mentaati perintahnya.
3. Tabarruj
Yang
dimaksud dengan tabarruj ialah seorang wanita yang menampakkan perhiasannya dan
keindahan tubuhnya serta apa-apa yang wajib ditutupnya dari pandangan lelaki
bukan mahramnya.
Hal ini kita
dapati pada sabda Rasulullah s.a.w tentang wanita-wanita yang berpakaian tapi
hakikatnya telanjang disebabkan pakaian yang mereka pakai tipisnya, berseluar
ketat menampakkan bahagian-bahagian tubuh tertentu, tidak menutup aurat
sepertimana yang berlaku di dalam masyarakat kita. Sebagaimana yang dihuraikan
oleh Ibnul ‘Abdil Barr rahimahu ‘Llah ketika menjelaskan sabda Rasulullah s.a.w
tersebut. Ibnul ‘Abdil Barr menyatakan :
“Wanita-wanita
yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w adalah yang memakai pakaian yang tipis yang
menampakkan tubuhnya atapun yang menunjukkan bentuk tubuhnya dan tidak
menutupinya, maka mereka adalah wanita-wanita yang berpakaian pada zahirnya dan
telanjang pada hakikatnya … .”
Mereka
adalah wanita-wanita yang suka dan amat gembira apabila berjaya menampakkan
perhiasan mereka, padahal Allah s.w.t. telah melarang hal ini dalam firmanNya
yang bermkasud :
“Dan
janganlah mereka menampakkan perhiasan-perhiasan mereka.” (Surah An Nur ayat
310)
Imam
Az-Zahabi rahimahu ‘Llah menyatakan di dalam kitab Al Kabair :
“Termasuk
dari perbuatan-perbuatan yang menyebabkan mereka dilaknat ialah menampakkan
hiasan emas dan permata yang dipakai oleh mereka, memakai minyak wangi dengan
yang seumpanya jika mereka keluar rumah … .”
Dengan
perbuatan seperti ini bererti mereka secara tidak langsung menyeret kaum lelaki
ke dalam Neraka, kerana pada diri kaum wanita terdapat daya tarik syahwat yang
sangat kuat yang dapat menggoncang keimanan yang kukuh sekalipun, apa lagi iman
yang lemah yang tidak dikuatkan dengan ilmu Al Qur’an dan As Sunnah. Rasulullah
sendiri menyatakan di dalam hadis yang sahih bahwa :
“ Fitnah
yang paling besar yang paling ditakutkan atas kaum lelaki adalah fitnahnya
wanita.”
Sahabat yang
dirahmati Allah,
Sejarah
sudah membuktikan bahawa betapa banyak tokoh-tokoh dunia yang tidak beriman
kepada Allah s.w.t. hancur hanya disebabkan pujuk-rayu wanita. Bahkan berapa
banyak persaudaraan di antara kaum muslimin terputus hanya disebabkan wanita.
Berapa banyak anak yang menderhaka kepada ibunya demi mencari cinta seorang
wanita, dan masih banyak lagi gejala-gejala lainnya yang dapat membuktikan
bahawa wanita seumpama mereka ini memang layak untuk tidak mendapatkan wanginya
Syurga.
Hanya dengan
ucapan dan rayuan seorang wanita mampu menjerumuskan kaum lelaki ke dalam
lembah dosa yang hina, terlebih lagi jika mereka bersolek dan menampakkan tubuh
mereka kepada kaum lelaki. Tidak menghairankan lagi jika di sana-sini terjadi
jenayah dan kezaliman terhadap kaum wanita, kerana yang demikian adalah hasil
perbuatan mereka sendiri.
Hindarilah
tabarruj dan berhiaslah dengan pakaian yang disaran oleh Islam yang akan menyelamatkan
kaum wanita dari dosa di dunia ini dan azab di akhirat kelak. Jangan diikut
pemikiran sekular pemimpin-pemimpin wanita Islam yang cuba mempertikaikan
hukum-hukum Allah dan mempertikaikan hak-hak wanita yang telah dinyatakan di
dalam al-Qur’an.
Allah s.w.t.
berfirman yang bermaksud :
“Dan
tinggallah kamu di rumah-rumah kamu dan janganlah kamu bertabarruj dengan
tabarrujnya orang-orang jahiliyyah pertama dahulu.” (Surah Al Ahzab ayat 33)
Masih banyak
sebab-sebab lainnya yang menyebabkan wanita menjadi penghuni majoriti Neraka.
Tetapi cukuplah dengan tiga sebab ini sahaja yang dijelaskan di sini kerana
memang tiga perkara inilah yang sering kita dapati di dalam kehidupan
masyarakat kita.
Rasulullah
s.a.w pernah menerangkan satu amalan yang dapat menyelamatkan kaum wanita dari
azab Neraka. Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya yang berisikan
perintah untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. dan anjuran untuk mentaatiNya.
Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan
mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda :
“Bersedekahlah
kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Jahanam!”
Maka
berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang
berubah kehitaman kedua pipinya, iapun bertanya : “Mengapa demikian, wahai
Rasulullah?”
Baginda
menjawab : “Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu kufur terhadap suami!” (Hadis
Riwayat Al- Bukhari)
Bersedekahlah
kerana sedekah adalah satu jalan untuk menyelamatkan kaum wanita dari azab
Neraka. Semoga Allah s.w.t. menyelamatkan kita dari azab-Nya. Aamiin.
Al maulaana
0 komentar:
Posting Komentar